Pages

Thursday 23 September 2010

FIDYAH BERGANDA TIDAK SABIT DARI NABI

Seseorang yang gagal mengqadhakan puasan Ramadhanya dalam sebelas bulan selepas Ramadhan, lalu masuk Ramadhan berikutnya, sesetengah ulama berpendapat bahawa dia perlu mengqadhakan puasanya yang lalu itu selepas Ramadhan yang kedua dengan fidyah secupak beras. Jika berlalu sebelas bulan berikut dan gagal juga mengqadhakannya, maka fidyah digandakan. Demikianlah seterusnya. Setiap selang setahun, digandakan fidyahnya. 

Padangan ini diambil oleh ulama mazhab Syafiyyah dan Hambaliah berdasarkan amalan beberapa orang kalangan sahabat. Sementara ulama mazhab lain tidak mensyaratkan fidyah. Hanya memadailah dengan qadha sahaja.

Ketika mengulas situasi ini, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menegaskan bahawa pandangan yang mewajibkan fidyah dibayar bersama dengan qadha tidak punya sandaran saheh daripada nabi SAW. Apa yang wajib secara pasti ialah mengqadhakan puasa yang ditinggalkannya tak kira berselang berapa tahun sekalipun.  Jika seseorang itu mahu memberi fidyah, itu adalah baik kerana meraikan pandangan sebahagian ulama mazhab yang berdalilkan amalan sesetengah sahabat.

Namun, perlu diingat bahawa untuk mewajibkan sesuatu, kita memerlukan dalil dari Al-Quran maupun hadis nabi SAW. Riwayat mengenai nabi SAW itu perlulah pula saheh. Amalan sebahagian sahabat tidak boleh dijadikan asas untuk menetapkan sesuatu kewajipan.

Rujukan: Al-Qaradhawi

Saturday 18 September 2010

Hukum menggunakan bejana emas dan perak

Hukum menggunakan bejana emas dan perak adalah haram berdasarkan nas dan ijmak ulama.

Sabda Rasulullah SAW:

لا تشربوا في آنية الذهب والفضة ولا تأكلوا في صحافها فإنها لهم في الدنيا ولكم في الآخرة
 
"Janganlah kamu minum dalam bejana daripada emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan yang terbuat daripada keduanya. Sesungguhnya ia adalah untuk mereka (orang kafir) di dunia dan untuk kamu di hari akhirat".
(Hadis Yang diittifaq kesahihannya dari jalan Huzaifah)

Rasulullah SAW juga telah bersabda:

الذي يأكل ويشرب في آنية الذهب والفضة إنما يجرجر في بطنه نار جهنم 
 
" Orang yang makan dan minum dalam bejana daripada emas dan perak, maka sesungguhnya  api neraka jahannam yang menggelegak dalam perutnya".
(Hadis yang disepakati kesahihannya diriwayatkan oleh Ummu salamah dengan lafaz imam Muslim)

Maka emas dan perak adalah diharamkan berdasarkan nas hadis untuk dijadikan bejana sama ada untuk makan, minum, berwuduk ataupun mandian. Haram juga menjualnya. Haram juga apa yang berkaitan dengan bejana seperti dulang, pelapik cawan dan sebagainya.

Maka wajib ke atas setiap muslim mengelakkan pembaziran dan bermewah-mewah dengan harta benda. Jika kaya sangat, baik gunakan kekayaan tersebut untuk membantu golongan fakir miskin. Ada orang yang berhajat maka gunakan kekayaan itu untuk mereka. Ada anak muda yang tam mampu berkahwin, maka bantulah mereka. Bukan dengan cara bermewqah-mewah dan melampau dalam memperlihatkan kekayaan.

Wednesday 8 September 2010

Menyapu atas Jabirah dan 'Isobah

Soalan: Anak saya mengalami kemalangan bahagian anggota wuduknya dibalut dalam tempoh 2 minggu. Bagaimanakah cara dia mengambil wuduk dalam keadaan demikian? Apakah dia perlu mengulangi solatnya?.
 
Jawapan: Dalam masalah ini, kebanyakan ulama menyatakan: Dia hanya perlu menyapu air pada balutan berkenaan. Dia tidak perlu menyampaikan air pada kulit di bawah balutan tersebut. Bab ini dipanggil al-Mash ‘ala al-Jabirah wa al-‘Isabah iaitu menyapu di atas balutan patah dan luka.

Namun begitu oleh kerana hadith-hadith dalam masalah ini kesemuanya tersangat daif, ini seperti yang dinyatakan oleh para ulama hadith seperti al-Baihaqi, dan tegaskan lagi oleh al-Albani dalam Tamam al-Minnah, maka berlaku perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam masalah ini.

Apa yang saya rumuskan daripada perbahasan para ulama fekah, ialah dua pendapat yang boleh diikuti;

Pertama: Hanya perlu sapu di atas balutan tersebut. Dia tidak diwajibkan berwuduk sebelum memakai balutan tersebut. Ketika berwuduk atau mandi wajib dia hanya perlu sapu air di atas balutan tersebut, tanpa perlu membasuhnya, atau melalukan air di bawahnya, atau menanggalkannya. Inilah pendapat terpilih daripada kebanyakan ulama fekah. (lihat: ‘Abd al-Karim Zaidan, Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar`ah, 1/140, cetakan: Muassasah al-Risalah, Beirut ).

Kedua: Disebabkan hadith-hadith dalam bab ini terlalu daif maka ada ulama fekah yang berpegang kepada tidak ada apa yang dikatakan sapu atas balutan patah atau luka. Sebaliknya anggota yang cedera, atau dibalut tersebut tidak perlu sebarang sapuan atau basuhan kerana telah gugur kewajipan syarak ke atas anggota tersebut. Ini pendapat yang dikemukakan oleh al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (wafat 456H). Kata beliau ketika memberikan alasan pandangannya :


“Dalilnya firman Allah (maksudnya) “Allah tidak bebankan kepada seseorang kecuali apa yang dia terdaya” dan sabda Nabi s.a.w: “Apabila aku perintah kamu dengan sesuatu perintah, maka datangilah ia dengan kadar kemampuan kamu”.Dengan dalil al-Quran dan al-Sunnah gugur kewajipan apa yang seseorang tidak mampu. Maka gantinya ialah apa yang disyarakkan. Syarak pula tidak wajib diikuti melainkan dengan dalil daripada al-Quran atau sunnah. Tiada dalil al-Quran atau sunnah yang menggantikan basuhan dengan sapuan ke atas balutan patah atau ubat bagi anggota yang tidak mampu dibasuh”.(lihat: Ibn Hazm al-Andalusi, Al-Muhalla,1/316, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut ). Tokoh hadith zaman ini yang terkenal al-Syeikh Muhammad Nasir al-Din al-Albani r.h.cenderung kepada pendapat ini. (lihat: Al-Albani, Tamam al-Minnah, 133-135, cetakan: Dar al-Rayah, Riyadh ).
 
 
Salah satu pendapat atas boleh untuk diamalkan, keduanya lebih mudah untuk pesakit dibandingkan pendapat-pendapat lain. Dia juga tidak perlu mengulangi solat yang dilakukannya apabila dia sembuh. Inilah pendapat yang paling kuat.

Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin