Pages

Showing posts with label Hukum. Show all posts
Showing posts with label Hukum. Show all posts

Wednesday, 17 July 2013

KEPERCAYAAN KARUT ROH PULANG KE RUMAH

Pertama sekali, ditegaskan bahawa masalah roh adalah masalah ghaibiyyat yang mana ilmu kita tidak akan menggapainya melainkan sedikit. Gapaian yang sedikit itulah apa yang diceritakan dalam nas, baik Al-Quran maupun hadis  mengenai persoalan roh. Maka, manusia tidak dapat memandai-mandai mencipta teori sendiri mengenai roh atau mendapat ilmu dengan jalan yang lain mengenainya. Ilmu mengenai roh tidak boleh dicapai melalui renung tafakur, khayalan fantasi atau melalui mimpi. Apabila disebutkan sahaja sesuatu persoalan ghaibiyyat, ia hanya dapat diketahui dengan jalan wahyu, samada wahyu itu datang dalam bentuk nas Al-Quran maupun hadis nabi SAW.

Maka, kecenderungan sesetengah pihak menghuraikan maslah roh menurut kefahaman sendiri dengan bersandarkan cerita-cerita yang boleh disifatkan lipur lara, mimpi, kisah para wali dan sebagainya adalah cubaan menerobos hal ghaib melebihi kadar yang dibenarkan.  Allah telah memberi peringatan dalam Al-Quran melalui firmaNya:


وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّن الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً


Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: "Roh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit".
(Surah Al-Isra’: Ayat 85)

Perihal mengenai roh telah diceritakan oleh Allah dan RasulNya sekadar yang perlu untuk diimani oleh orang-orang yang beriman. Roh yang berpindah dari satu alam ke satu alam lain tidak pernah dapat kembali ke alam sebelumnya. Justeru, cerita yang menggambarkan roh orang yang telah mati pulang bergentayangan di dunia adalah sangat tidak boleh diterima akal, apa lagi untuk disokong oleh nas-nas syarak. Sekadar hendak menceritakan mengenai kepulangan roh tanpa dalil syarak, kepercayaan Firaun, hindu dan pagan juga banyak menceritakan hal yang seumpama itu.

Apa yang saya curigai, kemungkinan kepercayaan roh ornag mati pulang menjengah keluarganya ini adalah resapan dari kepercayaan karut marut agama Syiah. Sememangnya dunia Ahli Sunnah banyak sekali dicemari kepercayaan karut agama Syiah terutama yang berhubung dengan kematian dan roh. Jika kita merujuk kepada kitab hadis agama Syiah yang terkenal iaitu Al-Kafi, pada Jil.3 MS230 disebutkan hadis-hadis mengenai kepulangan roh antaranya:


عَلِيُّ بْنُ إِبْرَاهِيمَ عَنْ أَبِيهِ عَنِ ابْنِ أَبِي عُمَيْرٍ عَنْ حَفْصِ بْنِ الْبَخْتَرِيِّ عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ (ع) قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ لَيَزُورُ أَهْلَهُ فَيَرَى مَا يُحِبُّ وَ يُسْتَرُ عَنْهُ مَا يَكْرَهُ وَ إِنَّ الْكَافِرَ لَيَزُورُ أَهْلَهُ فَيَرَى مَا يَكْرَهُ وَ يُسْتَرُ عَنْهُ مَا يُحِبُّ قَالَ وَ مِنْهُمْ مَنْ يَزُورُ كُلَّ جُمْعَةٍ وَ مِنْهُمْ مَنْ يَزُورُ عَلَى قَدْرِ عَمَلِهِ

" Ali bin Ibrahim meriwayatkan daripada bapanya dari Ibn Abi Umair daripada Hafs bin Al-bakhtari daripada Abi Abdillah (a.s) berkata olehnya: Sesungguhnya seorang (roh) mukmin akan menziarahi keluarganya dan akan melihat apa yang disukainya dan dilindungkan daripadanya apa yang dibencinya. Sedangkan roh orang kafir akan menziarahi keluarganya dan akan melihat apa yang dibencinya dna ditutup daripada penglihatannya apa yang disukainya. Berkata lagi (Abu Abdullah): "Di kalangan mereka ada yang menziarahi setiap Jumuat dan dari kalangan mereka ada yang menziarahi mengikut kadar amalan mereka".

Di mana mahu ditemui dalam khazanah hadis Ahli Sunnah Wal Jamaah hadis-hadis yang jelas menyatakan kepulangan roh seperti yang terdapat dalam kitab besar saheh agama Syiah itu?

Dalam Al-Quran Allah telah berfirman:





وَحَرَامٌ عَلَى قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَاهَا أَنَّهُمْ لَا يَرْجِعُونَ
 


Sungguh tidak mungkin atas (penduduk) suatu negeri yang Telah kami binasakan, bahwa mereka tidak akan kembali (kepada Kami).
(surah Al-Ambiyaa: Ayat 95)



Ayat di atas menjelaskan kepada kita kita satu sunnah Allah iaitu apabila sesetu itu telah dimusnahkan oleh Allah, ia tidak akan kembali lagi. Allah telah musnahkan banyak negeri yang penduduknya derhaka kepada Allah, lalu tidak ada satu negeri pun yang kembali bangkit semula sebagaimana sebelumnya. Ia adalah satu ibarat dan bandingan. Kemusnahan akan kekal musnah selamanya. Kematian itu satu kemusnahan. Orang yang telah dicabutkan roh dari badannya, dunianya telah musnah buatnya. Maka, bagaimana roh yang telah musnah dunia yang dijunjungnya masa hayatnya dulu untuk dikembalikan buatnya. Itu tidak mungkin dan itu menyalahi sunnah Allah SWT. Begitulah cara kita beristidlal dengan ayat di atas dan mengaitkannya dengan penafian kepulangan roh ke dunia semula.

Dalam hadis Rasulullah :


عن جابر بن عبد الله بن حرام ـ رضي الله عنهما ـ قال: لقيني النبي صلى الله عليه وسلم فقال لي: يا جابر ما لي أراك منكسراً؟ فقلت يا رسول الله استشهد أبي وترك عيالاً وديناً، فقال: ألا أبشرك بما لقي الله به أباك؟ قلت: بلى يا رسول الله، قال: ما كلم الله أحداً قط إلا من وراء حجاب، وإن الله أحيا أباك فكلمه كفاحا فقال: يا عبدي تمن أعطك، قال: تحييني فأقتل قتلة ثانية، قال الله: إني قضيت أنهم لا يرجعون

" Daripada Jaber bin Abdullah bin Haram (R.A) berkata : Aku telah ditemui oleh nabi SAW pada satu hari dan baginda bertanya kepadaku: Wahai Jaber, kenapa aku lihat kamu kelihatan sangat longlai? Lalu aku menjawab: Wahai Rasulullah, bapaku telah mati syahid dan meninggalkan keluarga dan hutang piutang. Baginda lantas bersabda: Mahukah aku khabarkan berita gembira buatmu mengenai apa yang diperolehi oleh bapamu daripada Allah? Kataku: Sudah tentu wahai Rasulullah!. Baginda bersabda: Allah tidak bercakap dengan seorang pun melainkan di belakang hijab. Sesungguhnya Allah telah menghidupkan bapamu dan bercakap dengannya secara berhadapan. Allah  berkata kepadanya: Mintalah apa yang kamu inginkan akan aku berikan kepada kamu. Lalu berkata (bapamu): Hidupkan aku semula lalu aku berperang dan mati syahid kali kedua. Allah berfirman: Sesungguhnya aku telah menetapkan bahawa mereka yang telah mati tidak akan kembali lagi".
(Hadis Riwayat Ibn Hibban dalam Sahehnya dan menurut Arnut Sanadnya Jayyid)

Kalau roh itu boleh pulang semula ke dunia, maka roh orang Syahid itu lebih patut pulang dari roh-roh manusia biasa yang tidak punya jasa besar kepada agama. Roh Pak leman , roh Mak Bedah, roh atok dan roh nenek.

Hadis-hadis yang menceritakan mengenai kembalinya roh untuk mendengar salam orang yang mengucapkannya sewaktu menziarahi kubur, menjawab soalan mungkar dan nakir dan mendengar bunyi dtapan kasut prang yang meninggalkan tanah perkuburan bukan dalil untuk mengatakan roh pulang ke dunia. Kita mengimani sekadar yang diceritakan nas dna tidak berlebih-lebihan dalam mengqiaskannya.Tidak ada qias dalam soal ghaibiyyat.  Khabar alam barzah yang tsabit daripada nabi SAW adalah Qat'i dan tidak ada tokok tambah dengan jalan qias. 

Alam kubur bukan alam dunia yang boleh kita jangkau dengan daya fikiran kita.  Roh kembali ke alam kubur tidak boleh ditafsirkan pulang ke dunia. Alam kubur bukan boleh ditafsirkan secara gamblang lubang di bawah tanah yang terpacak dua nesan itu. Kalau begitu, tiadakah alam kubur buat mereka yang mati hancur lebur kerana dibom oleh C4 atau yang hangus rentung dalam kebakaran? Sedangkan alam kubur itu lintasan alam yang pasti dilalui oleh setiap yang meninggalkan alam dunia. 

Jika ada orang berkata dia nampak roh neneknya pulang ke rumah, kita katakan itu adalah jelmaan Syaitan dalam sedar atau khayalmu. Roh nenekmu tidak akan pulang lagi bergentanyangan di dunia. Sekalipun pulang untuk mengambil pahala di bulan Sya'ban atau bulan Ramadhan  sebagaimana yang dikhayalkan oleh sesetengah orang. Kalau roh boleh pulang ambil pahala, apa pasal pula ulama berkhilaf pandangan mengenai keharusan mengirim pahala kepada si mati. Jadi sepakatlah semua ulama bahawa pahala boleh dikirimkan kepada si mati. Bukan lagi kirim, malah roh si mati sendiri pulang ambil pahala. Hakikatnya, ada ulama berselisih pandangan mengenai sampai atau tidak pahala yang dikirimkan menlalui bacaan Al-Quran kepada si mati. Dalam perselisihan ini tidak pernah pula ada kalangan mereka berhujah bahawa roh pulang mengambil pahala, maka tentu pahala yang dihadiahkan ornag hidup boleh diambil si mati.

Dakwaan ruh pulang ke kubur, pulang ke rumah sanak saudara, melihat perkembangan harta pusaka yang ditinggalkan dulu, semua ini adalah khurafat yang tidak berasas. Saya bimbang jika ia cedokan dari agama Syiah. Kalau sebut pasal Syiah, semangat anti Syiah membuak membara. Marahkan Syiah dan bencikan Syiah. Tapi kepercayaan Syiah pula yang dikendong tanpa sedar. Syiah memasukkan walijah ke dalam otak orang Islam Ahli Sunnah Wal-Jamaah, sehingga tanpa sedar menganut karut marut mereka.

Lebih malang kalau kefahaman roh pulang ke rumah itu adalah warisan karat purba paganisme yang bermuasal dari zaman Firaun sehinggalah ke dunia hindu, kependitaan sami dan kini tidak terpupus sepenuhnya dan masih bersarang dalam amalan orang Islam sebagaimna banyak amalan lain. Asalnya hindu tapi dengan sedikit modified kelihatan Islamnya. Mandi menyucikan dosa diIslamisasi jadi mandi tolak bala. Bersading bertepung tawar dikemaskini jadi makan berhidang dan sebagainya.



Tuesday, 16 July 2013

WITIR LEBIH DARI SATU RAKAAT

Witir itu ertinya ganjil. Maka satu itu ganjil. Demikian juga tiga, lima, tujuh, sembilan dan sebelas. Semuanya ganjil. Semuanya witir. Boleh solat witir pada angka-angka ganjil tersebut:

1) Boleh solat witir satu rakaat dengan satu salam. (tak kan dua salam pulak...:) ? )
2) Boleh solat witir 3 rakaat dengan satu tahiyyat (akhir) sahaja dan satu salam.
3) Boleh solat witir 3 rakaat dengan dua salam. ( macam selalu dibuat orang kat tempat kita)
4) Boleh solat witir 5 rakaat dengan satu tahiyyat (akhir) sahaja dan satu salam.
5) Boleh solat witir 7 rakaat dengan satu tahiyyat (akhir) sahaja dan satu salam.
6) Boleh solat witir 9 rakaat dengan dua tahiyyat. Tahiyyat awal pada rakaat ke 8 dan tahiyyat akhir pada rakaat ke 9 dan satu salam.
7) Boleh Solat witir 11 rakaat dengan dua rakaat satu salam dan satu rakaat satu salam bagi yang terakhir.

Semua kaifiyyat witir di atas adalah masyru' dan berdasarkan amalan Rasulullah SAW.

Saturday, 18 September 2010

Hukum menggunakan bejana emas dan perak

Hukum menggunakan bejana emas dan perak adalah haram berdasarkan nas dan ijmak ulama.

Sabda Rasulullah SAW:

لا تشربوا في آنية الذهب والفضة ولا تأكلوا في صحافها فإنها لهم في الدنيا ولكم في الآخرة
 
"Janganlah kamu minum dalam bejana daripada emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan yang terbuat daripada keduanya. Sesungguhnya ia adalah untuk mereka (orang kafir) di dunia dan untuk kamu di hari akhirat".
(Hadis Yang diittifaq kesahihannya dari jalan Huzaifah)

Rasulullah SAW juga telah bersabda:

الذي يأكل ويشرب في آنية الذهب والفضة إنما يجرجر في بطنه نار جهنم 
 
" Orang yang makan dan minum dalam bejana daripada emas dan perak, maka sesungguhnya  api neraka jahannam yang menggelegak dalam perutnya".
(Hadis yang disepakati kesahihannya diriwayatkan oleh Ummu salamah dengan lafaz imam Muslim)

Maka emas dan perak adalah diharamkan berdasarkan nas hadis untuk dijadikan bejana sama ada untuk makan, minum, berwuduk ataupun mandian. Haram juga menjualnya. Haram juga apa yang berkaitan dengan bejana seperti dulang, pelapik cawan dan sebagainya.

Maka wajib ke atas setiap muslim mengelakkan pembaziran dan bermewah-mewah dengan harta benda. Jika kaya sangat, baik gunakan kekayaan tersebut untuk membantu golongan fakir miskin. Ada orang yang berhajat maka gunakan kekayaan itu untuk mereka. Ada anak muda yang tam mampu berkahwin, maka bantulah mereka. Bukan dengan cara bermewqah-mewah dan melampau dalam memperlihatkan kekayaan.

Wednesday, 8 September 2010

Menyapu atas Jabirah dan 'Isobah

Soalan: Anak saya mengalami kemalangan bahagian anggota wuduknya dibalut dalam tempoh 2 minggu. Bagaimanakah cara dia mengambil wuduk dalam keadaan demikian? Apakah dia perlu mengulangi solatnya?.
 
Jawapan: Dalam masalah ini, kebanyakan ulama menyatakan: Dia hanya perlu menyapu air pada balutan berkenaan. Dia tidak perlu menyampaikan air pada kulit di bawah balutan tersebut. Bab ini dipanggil al-Mash ‘ala al-Jabirah wa al-‘Isabah iaitu menyapu di atas balutan patah dan luka.

Namun begitu oleh kerana hadith-hadith dalam masalah ini kesemuanya tersangat daif, ini seperti yang dinyatakan oleh para ulama hadith seperti al-Baihaqi, dan tegaskan lagi oleh al-Albani dalam Tamam al-Minnah, maka berlaku perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam masalah ini.

Apa yang saya rumuskan daripada perbahasan para ulama fekah, ialah dua pendapat yang boleh diikuti;

Pertama: Hanya perlu sapu di atas balutan tersebut. Dia tidak diwajibkan berwuduk sebelum memakai balutan tersebut. Ketika berwuduk atau mandi wajib dia hanya perlu sapu air di atas balutan tersebut, tanpa perlu membasuhnya, atau melalukan air di bawahnya, atau menanggalkannya. Inilah pendapat terpilih daripada kebanyakan ulama fekah. (lihat: ‘Abd al-Karim Zaidan, Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar`ah, 1/140, cetakan: Muassasah al-Risalah, Beirut ).

Kedua: Disebabkan hadith-hadith dalam bab ini terlalu daif maka ada ulama fekah yang berpegang kepada tidak ada apa yang dikatakan sapu atas balutan patah atau luka. Sebaliknya anggota yang cedera, atau dibalut tersebut tidak perlu sebarang sapuan atau basuhan kerana telah gugur kewajipan syarak ke atas anggota tersebut. Ini pendapat yang dikemukakan oleh al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (wafat 456H). Kata beliau ketika memberikan alasan pandangannya :


“Dalilnya firman Allah (maksudnya) “Allah tidak bebankan kepada seseorang kecuali apa yang dia terdaya” dan sabda Nabi s.a.w: “Apabila aku perintah kamu dengan sesuatu perintah, maka datangilah ia dengan kadar kemampuan kamu”.Dengan dalil al-Quran dan al-Sunnah gugur kewajipan apa yang seseorang tidak mampu. Maka gantinya ialah apa yang disyarakkan. Syarak pula tidak wajib diikuti melainkan dengan dalil daripada al-Quran atau sunnah. Tiada dalil al-Quran atau sunnah yang menggantikan basuhan dengan sapuan ke atas balutan patah atau ubat bagi anggota yang tidak mampu dibasuh”.(lihat: Ibn Hazm al-Andalusi, Al-Muhalla,1/316, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut ). Tokoh hadith zaman ini yang terkenal al-Syeikh Muhammad Nasir al-Din al-Albani r.h.cenderung kepada pendapat ini. (lihat: Al-Albani, Tamam al-Minnah, 133-135, cetakan: Dar al-Rayah, Riyadh ).
 
 
Salah satu pendapat atas boleh untuk diamalkan, keduanya lebih mudah untuk pesakit dibandingkan pendapat-pendapat lain. Dia juga tidak perlu mengulangi solat yang dilakukannya apabila dia sembuh. Inilah pendapat yang paling kuat.

Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Friday, 9 April 2010

Hukum emas dan perak kepada lelaki Islam

Kaedah umum ialah asal pada segala sesuatu adalah harus. Keharusan itu akan menjadi haram kalau ada dalil yang mengharamkannya. Ia akan menjadi makruh kalau ada dalil yang memakruhkannya. Jika tiada sebarang dalil yang menentukan hukum untuknya, maka kekal ia sebagai harus. Prinsip ini adalah digunapakai dalam semua persoalan hukum yang melibatkan fekah dan tidak bagi soal-soal ibadat.
Pengharaman emas dan dan sutera bagi lelaki Islam tidak ada dalam Quran tetapi ada dalam hadis. Apa yang diharamkan dalam hadis, maka ia adalah pengharaman yang datang daripada Allah juga.

Sabda Rasulullah SAW:


حرم لباس الحرير والذهب على ذكور أمتي وأحل لإناثهم
Diharamkan pakaian sutera dan emas ke atas lelaki kalangan umatku dan dihalalkan bagi wanita mereka".

(Hadis Riwayat Tarmizi)

Berkata Imam Nawawi, pengharaman cincin emas ke atas lelaki adalah diijmak di kalangan ulama.

Bagi gelas-gelas  yang menjadi bekas minuman atau pinggan mangkuk  yang menjadi bekas makanan, bahan daripada emas dan perak adalah diharamkan. Pengharaman ini bukan tertentu bagi lelaki sahaja tetapi juga kepada perempuan berdasarkan umum nas.



وعن حذيفة -رضي الله عنه- قال:   نهى رسول الله -صلى الله عليه وسلم- أن نشرب في آنية الذهب والفضة، وأن نأكل فيها، وعن لبس الحرير، والديباج، وأن نجلس عليه 
Daripada Huzaifah R.A bahawa Rasulullah SAW melarang daripada minum dalam bekas daripada emas dan .
perak, dan juga makan di dalamnya, dilarang juga memakai sutera dan dibaj serta duduk atasnya",
( Hadis Riwayat Bukhari)

Rujuk: Islamweb 1, Islamweb 2 ,
Islamlight.net, Fatwa Nur 'Ala Darbi , Ibn Taimiyyah.net