Pages

Thursday 25 February 2010

Lima perkara ghaib

Pada satu hari Imam Malik bin Anas ((93-179H/711-795M) telah bermimpi bertemu dengan malaikat maut. Kesempatan itu digunakan oleh Imam Malik untuk bertanya soalan:

"Berapa lagi baki umurku?", demikian soalan yang dilontarkan Imam Malik.

Malaikat Maut itu hanya menunjukkan isyarat 5 jarinya. 

"Lima apa?Hari, minggu, bulan atau tahun?", Imam Malik bertanya lagi.

Tetapi, sebelum Imam Malik mendengar jawapan Malaikat Maut, dia telah tersedar dari tidurnya. Hal itu menjadi persoalan dalam fikiran Imam Malik.

Pada masa itu ada seorang Tabi'in yang terkenal namanya dalam mentafsir mimpi iaitu Ibn Sirin ( 33-110H)/653-728M)

Imam Malik telah pergi bertemunya dengannya dan bertanya tentang maksud jawapan yang diberikan oleh Malikat maut dalam mimpinya. 

Lalu, Ibn Sirin pun mengatakan: Wahai imam darul hijrah, lima yang ditunjukkan itu bukanlah lima hari, minggu bulan maupun tahun, tetapi dia ingin memberitahumu bahawa soalanmu itu menyentuh antara 5 perkara ghaib yang tidak diketahui melainkan Allah sebagaimana firman Allah SWT:


إن الله عنده علم الساعة و ينزل الغيث و يعلم ما في الأرحام و ما تدري نفس ما ذا تكسب غدا و ما تدري نفس بأي أرض تموت إن الله عليم خبير
Sesungguhnya Allah, Hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari Kiamat; dan Dia-lah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.
(Surah Luqman: Ayat 34)

Wednesday 10 February 2010

Yahudi dan Nasrani menjadi ahli neraka.

Sungguhpun Allah menghalalkan sembelihan ahli kitab dan mengharuskan wanita mereka dinikahi oleh lelaki Muslim, itu tidaklah bermakna mereka bukan kafir. Kekafiran Yahudi dan Nasrani telah disebutkan dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah SWT:

لم يكن الذين كفروا من أهل الكتاب والمشركين منفكين حتى تأتيهم البينة
Orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahwa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata,
(Surah Al-Bayyinah: Ayat 1)
Mereka yang kafir dari kalangan ahli kitab itu adalah kalangan yang tidak beriman dengan kerasulan nabi Muhammad. Mereka akan dibalas neraka dan kekal di dalamnya. Sabda Rasulullah SAW:
والذي نفس محمد بيده لا يسمع بي أحد من هذه الأمة يهودي ولا نصراني ثم يموت ولم يؤمن بالذي أرسلت به إلا كان من أصحاب النار
“Demi Yang jiwa Muhammad di tanganNya! Setiap yang telah mendengar seruanku dari kalangan manusia, sama ada dia Yahudi atau Nasrani, kemudian dia mati dan tidak beriman dengan apa yang aku bawa daripada risalah, maka dia akan tergolong dalam kalangan ahli neraka”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Ahli Kitab yang ada pada zaman sekarang boleh dibahagikan kepada 2 kelompok iaitu:
a) Golongan yang sampai kepada meeka dakwah Islam tetapi tidak beriman.Mereka adalah kafir di dunia dan kekal dalam neraka di hari akhirat.
b)Golongan yang tidak sampai kepada mereka dakwah Islam. Para ulama berselisih pandangan mengenai kedudukan mereka di akhirat. Pendapat yang paling kuat ialah yang mengatakan bahawa mereka akan diuji pada hari akhirat. Sesiapa di kalangan mereka yang beriman, selamatlah. sebaliknya, sesiapa yang engkar, dia akan dimasukkan ke dalam neraka.Sementara di dunia, para ulama sepakat mengatakan mereka adalah kafir dan wajib menyampaikan dakwah kepada mereka.

Oleh itu, sesiapa yang tidak mengkafirkan Yahudi dan Nasrani atau meragui kakafiran mereka, orang itu adalah kafir. 

Dalam kitab al-Iqna', bab murtad, dinyatakan:

أو لم يكفر من دان بغير الإسلام كالنصارى واليهود، أو شك في كفرهم أو صحح مذهبهم. فهو كافر لأنه مكذب لقوله تعالى:  ومن يبتغ غير الإسلام ديناً فلن يقبل منه وهو في الآخرة من الخاسرين

"Atau tidak mengkafirkan mereka yang beragama selain Islam seperti Yahudi dan Nasrani, atau ragu-ragu pada kekufuran mereka dan merasa benar agama mereka, maka dia adalah kafir kerana dia mendustakan apa yang difirmankan Allah SWT: Dan sesiapa yang mencari selain ISlam sebagai ad-deen. maka tiadalah diterima daripadanya dan di hari akhirat dia tergolong kalangan yang rugi".

Hukum Jalalah

Jalalah adalah nama bagi binatang-binatang yang halal dimakan tetapi yang makan najis. Umpamanya ayam kapung, lembu daging atau susu yang makan dedak yang dibuat daripada najis dan sebagainya.

Para ulama berbeza pandangan mengenai hukum jalalah.

1) Pandangan pertama: Dilihat kepada makanan terbanyaknya. Jika makanan terbanyaknya adalah najis, maka haram. Sebaliknya jika makanan bukan najis lebih banyak, ia menjadi halal.

2) Pandangan Kedua: Jalalah halal dimakan kecuali jika najis itu memberi kesan kepada dagingnya atau susunya. Inilah pandangan yang paling kuat dan mendekati kebenaran.

Penentuan Halal Haram Binatang

Prinsip pengharaman binatang adalah didasarkan kepada kriteria berikut:

1) Setiap binatang yang bertaring daripada haiwan pemangsa , seperti harimau, singa dan sebagainya.

2) Setiap burung yang punya kuku mencakar seperti helang, gagak, burung hantu dan sebagainya.

Sabda Rasulullah SAW (Riwayat Muslim):

روى ابن عباس -رضي الله عنهما- أن النبي -صلى الله عليه وسلم-: نهى عن كل ذي ناب من السباع، وعن كل ذي مخلب من الطير
3) Binatang yang diharamkan secara khusus seperti himar kampung. Sabda Rasulullah SAW (Riwayat Bukhari dan Muslim):
روى جابر -رضي الله عنه- أن النبي -صلى الله عليه وسلم-:"نهى يوم
خيبر عن لحوم الحمر الأهلية وأذن في لحوم الخيل
4) Binatang yang tergolong kalangan binatang kotor. Firman Allah SWT:
ويحرم عليهم الخبائث
Dan diharamkan kepada mereka semuayang kotor
(Surah Al-A'raf: Ayat 157)
5) Apa yang diperintahkan syarak membunuhnya atau dilarang membunuhnya.

Binatang-binatang selain daripada 5 prisip di atas adalah harus dimakan kerana asal sesuatu adalah harus.

Ada orang bertanya, apa hukum makan landak. Maka hukum landak adalah haram disebabkan ia sejenis binatang yang kotor. Sebuah hadis riwayat Abu Daud dalam kita 'makanan'menyebutkan bahawa Rasulullah telah mengatakan tentang landak:

هو خبيث من الخبائث
 
"Ia adalah binatang pengotor daripada kalangan pengotor"

Hukum Sembelihan Ahlil Kitab

Hukum sembelihan Ahli Kitab adalah halal dimakan berdasarkan firman Allah SWT:



اليوم أحل لكم الطيبات وطعام الذين أوتوا الكتاب حل لكم وطعامكم حل لهم
Pada hari Ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka.
(Surah Al-Maidah: Ayat 5)
Ayat ini jelas menyatakan hukum halalnya sembelihan golongan ahlil Kitab bagi orang-orang Islam. 

Namun, jika kita mengetahui sembelihan itu dibuat tidak mengikut kaedah syarak seperti diketuk, dicekik atau sebagainya, maka ia adalah bangkai dan haram dimakan walaupun disembelih oleh Ahli Kitab. Jika kita tidak tahu kaedah yang digunakan mereka semasa sembelihan, maka hukumnya adalah kembali kepada hukum asal iaitu harus. Jika kita ragu-ragu cara sembelihan mereka atau menjadi kebiasaan penduduk sesebuah negeri membunuh binatang itu bukan dengan cara sembelihan ataupun penduduknya bukan ahlul kitab, maka tidaklah halal dimakan binatang itu.